KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Mohamed Razali Razi mencadangkan agar Pusat Autisme Sabah (PAUS) dinaik taraf bukan sekadar sebagai pusat latihan, sebaliknya berfungsi sebagai “rumah kedua” yang selamat dan berterusan untuk anak-anak dalam spektrum autisme di negeri ini.
Beliau berkata demikian ketika mengambil bahagian dalam sesi perbahasan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini, sambil merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri atas pembentangan Belanjawan 2026 yang disifatkannya sebagai holistik dan menyeluruh.
Menurut beliau, peruntukan sebanyak RM670,000 bagi menambah baik PAUS yang menyediakan pendidikan awal berkualiti dan mampu milik kepada kanak-kanak autisme berusia tiga hingga tujuh tahun merupakan langkah positif, namun perlu diperluaskan bagi menangani kebimbangan jangka panjang ribuan ibu bapa.
“Realiti yang sering disuarakan oleh ibu bapa ialah persoalan ‘apa akan terjadi kepada anak kami apabila kami sudah tiada’. Mereka bimbang soal keselamatan, tempat tinggal, penjagaan dan masa depan anak-anak mereka, termasuk dalam kategori autisme ringan,” katanya.
Sehubungan itu, Datuk Mohamed Razali mencadangkan PAUS dinaik taraf sebagai pusat yang menawarkan penjagaan rapi berterusan, latihan kemahiran, rutin kehidupan dan aktiviti sosial, supaya golongan autisme dapat terus hidup, belajar, bekerja dan berasa diterima dalam masyarakat.
Katanya, pendekatan tersebut bukan sahaja memberi perlindungan dan masa depan yang lebih terjamin kepada anak-anak autisme, malah mampu menenangkan hati ibu bapa kerana mengetahui anak mereka masih mempunyai tempat berpaut walaupun selepas ketiadaan mereka.
Selain itu, beliau turut mengesyorkan agar diwujudkan biasiswa khas serta dana latihan kemahiran merangkumi pembangunan kemahiran insaniah dan latihan vokasional, bagi membolehkan anak-anak autisme berdikari mengikut keupayaan masing-masing.
Beliau berharap cadangan berkenaan dapat dipertimbangkan oleh Kerajaan Negeri demi memastikan kebajikan golongan autisme terus terbela secara menyeluruh dan berterusan, selari dengan aspirasi Sabah Maju Jaya.
