KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah akan melaksanakan penstrukturan semula kepimpinan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) secara menyeluruh bagi memperkukuh tadbir urus, meningkatkan akauntabiliti dan memastikan peranan GLC sebagai pemangkin utama pertumbuhan ekonomi negeri dapat dipertingkatkan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata usaha itu melibatkan pelantikan semula pengerusi serta ahli lembaga pengarah beberapa GLC, sejajar keperluan pentadbiran semasa dan hala tuju pembangunan negeri di bawah Pelan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.
Menurutnya, rombakan kepimpinan berkenaan bertujuan menjadikan GLC lebih profesional, berdaya saing dan berorientasikan hasil, sekaligus menjana nilai ekonomi yang lebih besar untuk rakyat Sabah.
“Matlamat kita jelas, iaitu memastikan GLC menjadi pemacu ekonomi yang berkesan melalui tadbir urus kukuh dan kepimpinan kompeten. Pendekatan ini penting bagi memastikan setiap GLC bergerak seiring aspirasi Sabah Maju Jaya, khususnya dalam fasa pelaksanaan SMJ 2.0,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hajiji menegaskan bahawa Sabah ketika ini sedang menuju fasa pembangunan baharu yang dipacu pelaburan strategik, pendigitalan, tenaga baharu, ekonomi hijau dan peningkatan kesejahteraan sosial, justeru memerlukan barisan pemimpin GLC yang dinamik serta berfikiran strategik.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan terdahulu atas sumbangan mereka, namun menegaskan transformasi menyeluruh diperlukan bagi memastikan pelaksanaan agenda pembangunan negeri lebih efektif.
“Keutamaan kita adalah masa depan Sabah yang stabil, makmur dan terjamin demi kepentingan generasi hari ini dan akan datang,” katanya.
Katanya lagi, langkah penstrukturan semula itu bukan bersifat politik, sebaliknya berpaksikan prinsip tadbir urus baik, integriti dan kecekapan, agar GLC benar-benar berfungsi sebagai instrumen pembangunan ekonomi negeri.
