KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah Ke-17 berjalan lancar kelmarin (25 Nov) dengan 92.5 peratus atau 17,615 pengundi awal terdiri daripada anggota tentera, pasangan mereka, anggota polis serta Pasukan Gerakan Am (PGA) menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
Proses pengundian yang bermula pada 8.00 pagi melibatkan 58 Pusat Mengundi Awal di seluruh Sabah dan ditutup sepenuhnya pada 5.00 petang.
Seramai 8,347 anggota tentera dan pasangan serta 10,696 anggota polis, Polis PGA dan pasangan layak mengundi awal pada PRU DUN Sabah Ke-17 kali ini.
SPR dalam kenyataan turut merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan petugas yang berjaya mengendalikan proses pengundian dengan teratur dan efisien sepanjang hari.
Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus, turut menyampaikan penghargaan kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, petugas media serta semua pihak terlibat secara langsung dan tidak langsung atas kerjasama padu yang diberikan kepada SPR.
SPR menegaskan komitmen untuk memastikan keseluruhan perjalanan pilihan raya berlangsung dalam keadaan aman, telus dan teratur demi memastikan hak rakyat Sabah untuk memilih kerajaan baharu dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin.
