filter: 2201; fileterIntensity: 0.000000; filterMask: 0; captureOrientation: 90; hdrForward: 3; highlight: 1; algolist: 0; multi-frame: 1; brp_mask: 8; brp_del_th: 0.0380,0.0000; brp_del_sen: 0.1300,0.0000; delta:1; bokeh:1; module: portrait;hw-remosaic: false;touch: (0.46467027, 0.42116666);sceneMode: 7864320;cct_value: 0;AI_Scene: (0, 0);aec_lux: 140.03445;aec_lux_index: 0;albedo: ;confidence: ;motionLevel: -1;weatherinfo: null;temperature: 38;zeissColor: bright;
TAMPARULI: Manifesto lima tonggak khusus untuk Tamparuli menjadi fokus utama calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Dr. Bonaventure Boniface, dalam usahanya membawa pembaharuan dan kepimpinan baharu kepada kawasan itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) Sabah ke-17.
Bonaventure berkata, manifesto tersebut dirangka berdasarkan keperluan sebenar rakyat Tamparuli, hasil libat urus bersama masyarakat setempat serta kerjasama dengan mantan ADUN Tamparuli, Datuk Seri Panglima Jahid Jahim.
Lima tonggak itu merangkumi pembangunan ekonomi dan inovasi; pembangunan modal insan dan belia; infrastruktur serta pendigitalan; pemeliharaan alam sekitar, tradisi dan kebudayaan; serta tadbir urus telus dengan penyertaan rakyat.
Daripada keseluruhan tawaran itu, beliau menegaskan bahawa dua komponen utama ekonomi serta belia yang menjadi keutamaan GRS kerana ia merupakan asas kepada kemajuan mana-mana daerah.
“Tonggak ketiga, keempat dan kelima sudah ada landasan, tetapi perlu ditambah baik. Namun tonggak ekonomi dan belia adalah nadi pembangunan. Jika dua ini digerakkan secara strategik, Tamparuli akan maju lebih pantas,” katanya ketika ditemui media selepas Jelajah Mega Tamparuli pada Ahad.
Sebagai langkah memperkasa belia, Bonaventure berkata GRS merancang membangunkan sebuah institut kemahiran belia yang menawarkan latihan berdasarkan keperluan industri setempat seperti bengkel kereta, bengkel motosikal, pembuatan kek dan bidang keusahawanan kecil.
Latihan itu juga akan disertakan dengan sijil kemahiran tahap satu hingga tiga bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan keusahawanan.
“Saya yakin dengan kemahiran yang teratur dan berasaskan permintaan semasa, belia Tamparuli dapat maju sebagai tenaga kerja profesional dan juga usahawan berjaya. Industri kecil pun boleh jadi sumber pendapatan yang stabil,” jelasnya.
Dalam masa yang sama, beliau menyatakan keyakinan terhadap peluang GRS selepas melihat sokongan yang semakin meningkat sejak hari kempen pertama.
Beliau berkata, kehadiran ramai golongan muda, wanita serta penduduk kampung sepanjang siri walkabout dan ceramah membuktikan rakyat ingin mendengar tawaran khusus untuk masa depan Tamparuli.
“Apabila kita turun ke kampung-kampung, saya lihat mereka mahu perubahan yang lebih segar. Mereka melihat tawaran kita bukan sekadar janji, tetapi berdasarkan data, fakta dan keperluan sebenar penduduk,” katanya.
Bonaventure menegaskan bahawa GRS membawa gaya kepimpinan baharu yang lebih telus, lebih inklusif dan lebih berasaskan bukti, sesuatu yang menurutnya “ditunggu oleh rakyat Tamparuli sejak sekian lama.”
