PITAS: Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun disahkan meninggal dunia selepas ditemukan lemas di sungai Kampung Kalipuon, tengah hari tadi.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada MERS999 pada jam 11.40 pagi mengenai kejadian seorang kanak-kanak dipercayai terjatuh dari tebing sungai ketika bermain.
Sebaik tiba di lokasi pada jam 12.00 tengah hari, enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pitas bersama penduduk kampung menjalankan operasi mencari dan menyelamat menggunakan kaedah Surface Water Rescue.
Mangsa berjaya ditemukan pada jam 12.40 tengah hari.
Pasukan Bomba memberikan bantuan pernafasan (CPR) sebelum mangsa dihantar ke hospital menggunakan ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan sebaik tiba di hospital.
Operasi yang diketuai PBK II Gabuh Maradan turut dibantu pasukan APM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Setelah memastikan tiada bahaya lain, operasi ditamatkan pada jam 12.44 tengah hari.
