KOTA KINABALU: Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang juga Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menegaskan bahawa manifesto PRU Sabah ke-17 yang dilancarkan pada Isnin merupakan komitmen jelas gabungan itu untuk terus mempertahankan dan memperjuangkan hak Sabah, termasuk tuntutan pemberian khas 40 peratus hasil negeri di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Manifesto bertemakan “Rumah Kita, Kita Jaga – Tanah Air Maju, Rakyat Berkemajuan” itu dibina berasaskan empat rukun utama termasuk Sabah First, Sabah Forward, Sabah Prosper dan Sabah United.
Ia diterjemahkan kepada 16 strategi pembangunan komprehensif bagi memastikan hala tuju pembangunan negeri di bawah Sabah Maju Jaya (SMJ) dapat diteruskan dan diperkukuh.
Menurut Hajiji, antara fokus utama manifesto ialah mengukuhkan kedudukan kewangan negeri melalui perjuangan hak Sabah, termasuk pemberian khas 40 peratus; pengembangan ekonomi dan sektor baharu; reformasi institusi; serta penubuhan Sabah Sovereign Wealth Fund bagi menjamin masa depan rakyat dan generasi muda Sabah.
Manifesto itu turut memberi perhatian kepada agenda rakyat melalui pembangunan modal insan, penyelesaian isu infrastruktur asas, penyediaan lebih banyak peluang pekerjaan dengan pendapatan bermaruah, akses kepada perumahan mampu milik, selain peningkatan bantuan sosial dan usaha pengukuhan perpaduan rakyat.
Hajiji berkata, pelancaran manifesto ini menjadi bukti kesungguhan GRS untuk memastikan segala pencapaian dan pembangunan yang telah digerakkan sepanjang lima tahun lalu tidak terhenti separuh jalan.
“Sabah mesti terus maju, rakyat mesti terus berkemajuan dan hak negeri mesti terus dipertahankan,” tegasnya.
