KOTA BELUD: Seorang wanita warga emas berusia sekitar 70-an ditemukan rentung selepas rumah tidak kekal yang didiaminya di Kampung Bangkahak Sunsum, Kota Belud, musnah dalam kebakaran awal pagi kelmarin.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden berkenaan pada jam 2.00 pagi.
Sepasukan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud yang diketuai PBK II Jasree Mar serta Komander Operasi Kanan PPgB Elgie Bakuk bergegas ke lokasi sejauh kira-kira 13 kilometer dan tiba pada jam 2.14 pagi.
Menurut kenyataan itu, kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis tidak kekal berkeluasan kira-kira 50 x 50 kaki yang terbakar 100 peratus.
Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan kaedah offensive dengan satu aliran 100 kaki dan dua pancutan, menggunakan sumber air dari tangki jentera.
Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 2.50 pagi, manakala operasi tamat pada jam 5.30 pagi selepas pasukan memastikan tiada lagi ancaman bahaya di lokasi.
“Seorang mangsa wanita ditemukan rentung di bahagian bilik tidur,” menurut laporan operasi berkenaan di sini, semalam.
Operasi turut dibantu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan SESB yang masing-masing menugaskan beberapa anggota ke lokasi kejadian.
