TAMBUNAN: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengesahkan bahawa rundingan antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) mengenai agihan kerusi bagi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) telah selesai sepenuhnya.
Beliau yang juga Pengerusi GRS berkata, pembahagian kerusi tersebut akan diumumkan secara rasmi pada Hari Penamaan Calon, menandakan kesepakatan antara kedua-dua gabungan politik utama yang menerajui kerajaan negeri ketika ini.
“Ya, kami sudah tahu (pembahagian kerusi), tetapi saya tidak boleh umumkan sekarang. Tunggu sahaja pada Hari Penamaan Calon dan anda akan tahu bilangannya,” katanya ketika ditemui selepas melawat Sekolah Agama Negeri (SAN) Pekan Tambunan, hari ini.
Hajiji turut memaklumkan bahawa manifesto GRS akan dilancarkan selepas Hari Penamaan Calon, dengan menekankan bahawa ia akan menawarkan pelan pembangunan terbaik untuk rakyat Sabah.
“Kami akan menawarkan yang terbaik kepada rakyat Sabah,” tegasnya.
Menurut Hajiji, keyakinan bahawa mandat rakyat akan terus berpihak kepada GRS-PH adalah berasaskan kepada rekod pencapaian cemerlang pentadbiran lima tahun lalu.
Katanya, pelbagai kejayaan telah dicapai melalui pelaksanaan program sosioekonomi, pelaburan berimpak tinggi serta inisiatif kebajikan rakyat.
“Kami telah membelanjakan lebih RM1.3 bilion untuk pembangunan modal insan dan memberikan bantuan bulanan sebanyak RM300 kepada golongan miskin tegar dalam senarai e-Kasih,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa Sabah kini mencatat kemajuan besar dalam industri minyak dan gas, hasil usaha kerajaan negeri memperkasa kawalan terhadap sumber tenaga melalui dasar baharu dan pelaburan strategik.
“Pembangkang boleh cuba menafikan kejayaan ini, tetapi rakyat kini lebih matang dan mampu menilai pencapaian sebenar,” katanya lagi.
Mengulas mengenai suasana politik menjelang PRN-17, Hajiji menyifatkan pilihan raya kali ini akan lebih meriah dengan penglibatan pelbagai parti politik.
“Marilah kita meraikan demokrasi,” katanya.
Dengan agihan kerusi yang kini dimuktamadkan, GRS dan PH dijangka memperkukuh gabungan mereka dalam menghadapi PRN-17, sekali gus menandakan permulaan fasa baharu politik Sabah yang berteraskan pembangunan, kestabilan dan kepercayaan rakyat.
