KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh agenda reformasi undang-undang dan institusi sebagai antara tawaran utama dalam Manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 2025.
Menurut Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali, usaha pembaharuan tersebut bukan sekadar janji politik, tetapi telah pun dilaksanakan secara berterusan sejak GRS mengambil alih teraju pentadbiran negeri pada November 2020.
Beliau berkata, sepanjang tempoh pentadbiran 2021 hingga 2025, kerajaan negeri telah melaksanakan 51 enakmen negeri baharu dan pindaan undang-undang sedia ada, termasuk penggubalan Enakmen Suruhanjaya Tenaga Sabah 2023, Enakmen Tenaga Boleh Baharu Sabah 2024, serta Enakmen Perubahan Iklim dan Tadbir Urus Karbon Sabah 2025.
“Antara reformasi penting ialah Enakmen Perlembagaan Negeri Sabah (Pindaan) 2023, yang memperkenalkan peruntukan anti lompat parti bagi memperkukuh kestabilan politik negeri.
“Dalam aspek reformasi institusi, GRS turut berjaya memperkukuh peranan Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah (JPBNS) yang kini diberi mandat untuk mengendalikan semua kes jenayah di bawah undang-undang negeri.
“Peguam Negara selaku Pendakwa Raya di bawah Kanun Tatacara Jenayah telah melantik Peguam Besar Negeri dan pegawai undang-undang negeri sebagai Timbalan Pendakwa Raya, sekali gus menubuhkan Bahagian Penguatkuasaan dan Pendakwaan JPBNS melalui Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 6 April 2023.
“Langkah ini membolehkan JPBNS memberi fokus kepada pendakwaan berkaitan kesalahan jenayah negeri seperti Ordinan Tanah, Enakmen Perhutanan dan Enakmen Perlindungan Alam Sekitar. Ia turut memastikan agensi penguatkuasaan mendapatkan kebenaran daripada JPBNS sebelum memulakan sebarang tindakan undang-undang, sekali gus memperkukuh aspek tadbir urus dan akauntabiliti,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Sebagai pelengkap agenda reformasi katanya, GRS turut menubuhkan Majlis Penasihat Pembaharuan Undang-Undang Sabah (SLRAC) pada 31 Julai 2025, sebuah badan bebas yang bertanggungjawab menilai dan mencadangkan pembaharuan undang-undang negeri.
Majlis ini dipengerusikan oleh Tan Sri David Wong Dak Wah, mantan Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, bersama beberapa tokoh perundangan berpengalaman seperti Datuk Daniel Tan Jwee Peng, Dr. David Fung Yin Kee, Datuk John Sikayun, Datuk Roger Chin Ken Fong dan Puan Shakinur Ain Karama.
Armizan menegaskan bahawa GRS akan meneruskan usaha reformasi ini secara strategik dan berani, bagi memastikan undang-undang dan institusi Sabah kekal relevan, berkesan serta adil kepada rakyat.
“Reformasi undang-undang dan institusi ini membuktikan bahawa GRS bukan sekadar menjanjikan perubahan, tetapi melaksanakannya dengan tuntas dan berpandangan jauh,” katanya.
