LAHAD DATU: Seorang lelaki warga Indonesia dilaporkan hilang dan disyaki dibaham buaya ketika membaiki pukat di Sungai Silabukan, Indrawan Estate, Lahad Datu, pada awal pagi Rabu (8 Okt) lalu.
Menurut kenyataan rasmi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, laporan kejadian diterima pada jam 12.41 tengah malam daripada seorang saksi yang memaklumkan mangsa, berusia 27 tahun, hilang selepas dipercayai diserang buaya ketika sedang membaiki pukat di tepi sungai berkenaan.
Berikutan laporan itu, satu operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah digerakkan melibatkan anggota Balai Polis Lahad Datu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Pasukan penyelamat bergegas ke lokasi sebaik menerima laporan dan operasi mencari serta menyelamat diaktifkan pada jam 9.15 pagi bagi mengesan mangsa,” kata Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintenden Jimmy Panyau dalam kenyataannya pada Khamis (9 Okt).
Setakat ini, operasi SAR masih dijalankan dan kes disiasat sebagai laporan orang hilang (OH).
Dalam pada itu, polis menasihatkan orang awam supaya tidak menjalankan sebarang aktiviti di kawasan sungai yang berisiko tinggi dan dikenal pasti mempunyai buaya, bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menyalurkan maklumat kepada Ketua Polis Balai Lahad Datu, Inspektor Adzilee bin Suili di talian 014-866 5087,” tambah beliau.
