Kunak: Pembukaan Loji Pengekstrakan Phytonutrien Kunak Lipids Sdn Bhd di sini bakal memperkukuh kedudukan Sabah dalam pasaran oleokimia antarabangsa, di samping merancakkan ekonomi tempatan.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, loji tersebut akan mewujudkan peluang pekerjaan dan menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi di Kunak serta kawasan sekitarnya.
“Loji ini membuktikan komitmen Kumpulan Sawit Kinabalu untuk berkembang melangkaui pengeluaran komoditi mentah dan selaras dengan aspirasi kerajaan negeri untuk memperkukuh rantaian nilai industri kelapa sawit,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Shahelmey Yahya pada majlis perasmian di sini, semalam (30 Sept).
Hajiji, yang juga Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu, berbangga dengan inisiatif pengeluaran tokoferol tempatan di bawah jenama Sawit Kinabalu Tocotrienols (SKT3) yang bakal dipasarkan tidak lama lagi.
Menurutnya, Malaysia sebelum ini mengimport berjuta kilogram Vitamin E setiap tahun, namun dengan pengeluaran tocotrienol tempatan, negara dapat mengurangkan kebergantungan import dan membuka peluang baharu dalam pasaran nutraseutikal, di samping meningkatkan kesihatan rakyat.
Beliau menegaskan bahawa Kerajaan Negeri akan terus menyokong pelaburan yang membangunkan industri hiliran sawit secara lestari dan inovatif bagi memenuhi permintaan global yang semakin meningkat.
“Saya percaya loji ini akan menjadi pemangkin utama hasil negeri, menyediakan peluang pekerjaan berkemahiran kepada rakyat serta mengukuhkan kedudukan Sabah sebagai hab hiliran kelapa sawit di rantau ini,” katanya.
