Kota Kinabalu: Pasukan peguam yang mewakili keluarga Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir mengucapkan tahniah kepada Hamid Ismail atas pelantikan beliau sebagai Pesuruhjaya Kehakiman, sambil merakamkan penghargaan atas peranan penting beliau sejak awal perjalanan kes Zara sehingga ke prosiding inkues yang sedang berlangsung.
Dalam kenyataan media yang disampaikan oleh peguam Rizwandean M. Borhan selepas prosiding di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu pada Selasa, pasukan guaman menzahirkan penghargaan mendalam terhadap usaha dan bimbingan Hamid sepanjang proses mencari keadilan untuk Zara.
“Kami ingin mengucapkan tahniah kepada Tuan Hamid Ismail atas pelantikan beliau sebagai Pesuruhjaya Kehakiman.
“Kami amat menghargai usaha, masa dan bimbingan beliau sejak awal kes ini termasuk memastikan bedah siasat dijalankan serta penyiasatan menyeluruh dilakukan sehingga membawa kepada prosiding inkues ini,” jelas kenyataan tersebut.
Puan Noraidah Lamat, ibu kepada Allahyarhamah Zara, bersama pasukan peguam turut mendoakan agar Hamid terus diberi kekuatan dan kecemerlangan dalam melaksanakan tanggungjawab baharu beliau di badan kehakiman.
Mahkamah Koroner memaklumkan bahawa prosiding inkues kematian Zara akan bersidang semula pada 7 Oktober 2025, dan akan diteruskan setiap hari sehingga selesai.
Dalam kenyataan sama, pasukan guaman turut menasihatkan media dan orang awam supaya mengelak spekulasi serta berhati-hati dalam membuat sebarang ulasan atau kenyataan yang boleh dianggap subjudis, bagi menjaga integriti prosiding kehakiman yang sedang berlangsung.
Barisan peguam keluarga Zara terdiri daripada Shahlan Jufri, Rizwandean M. Borhan, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser Elhanan, dan James.
