Kota Kinabalu: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menyambut baik pengiktirafan Kinabatangan sebagai Rizab Biosfera di bawah Program Manusia dan Biosfera (MAB) UNESCO, satu pencapaian penting dalam usaha pemeliharaan alam sekitar dan biodiversiti Sabah di peringkat global.
Pengiktirafan berprestij itu diumumkan pada 27 September lalu semasa Sesi ke-37 Majlis Penyelarasan Antarabangsa Program MAB (ICC) di Hangzhou, China.
Menurut Hajiji, status bertaraf dunia ini akan membuka lebih banyak peluang kepada Kinabatangan dalam bidang penyelidikan, pendidikan, pelancongan berasaskan alam semula jadi serta kerjasama strategik antarabangsa.
“Kerajaan Negeri Sabah akan terus memperkukuhkan usaha pemuliharaan biodiversiti, memperluas program kesedaran masyarakat serta meningkatkan kerjasama strategik agar manfaat daripada pengiktirafan ini dapat dinikmati secara meluas dan mampan,” katanya.
Kinabatangan kini menjadi Rizab Biosfera kedua di Sabah selepas Banjaran Crocker (diiktiraf pada 2014), dan yang keempat di Malaysia.
Proses pencalonan mengambil masa dua tahun (2022–2024) dan diketuai oleh Pusat Biodiversiti Sabah dengan kerjasama pelbagai kementerian, agensi, NGO, industri dan komuniti tempatan.
Rizab Biosfera Kinabatangan meliputi kawasan seluas 413,866 hektar, merentangi 560 kilometer sepanjang Sungai Kinabatangan, dan menjadi habitat penting kepada ratusan spesies flora dan fauna termasuk orang utan, gajah Borneo, monyet probosis dan burung enggang endemik Sabah.
UNESCO turut memuji kualiti dokumen pencalonan serta penglibatan meluas komuniti dalam proses rundingan selama 22 bulan.
Menariknya, pengiktirafan ini juga menyokong usaha pemeliharaan dialek Sungai yang kini disenaraikan sebagai “Sangat Terancam” dalam Atlas Bahasa Dunia UNESCO.
Dengan pengiktirafan ini, Kinabatangan secara rasmi menyertai rangkaian 759 Rizab Biosfera di 136 negara seluruh dunia sekali gus mengukuhkan lagi reputasi Sabah sebagai peneraju pemuliharaan alam sekitar serantau.
