Kota Kinabalu: Prosiding inkues kematian pelajar tingkatan satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir memasuki hari ke-14 kelamrin, menyaksikan penangguhan semakan beberapa dokumen baharu yang sepatutnya diteliti oleh tiga pakar forensik di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu.
Peguam keluarga Allahyarham, Shahlan Jufri dan Nizam Salleh menjelaskan bahawa dokumen tersebut termasuk buku tulis, buku teks serta hasil tulisan tangan Zara yang sebelum ini dirampas oleh pihak polis.
“Dokumen ini adalah sebahagian daripada 27 item yang dirampas. Kami kira ada sekitar 10 hingga 13 tulisan tangan termasuk sebuah buku bertajuk Love and Peace. Ia masih belum ditanda atau ditender sebagai eksibit di mahkamah,” kata Nizam ketika ditemui selepas prosiding.
Menurut beliau, penelitian tidak dapat dijalankan pada inkues hari ke-14 kerana timbul isu teknikal, dan atas persetujuan bersama dengan pegawai pengendali maka semakan itu dijadualkan semula ke minggu depan untuk diperiksa oleh saksi daripada Jabatan Kimia.
“Pakar forensik yang berada di sini akan meneliti dokumen sedia ada sehingga esok sebelum pulang ke Semenanjung. Mereka dijangka kembali minggu depan untuk meneliti dokumen baharu berkenaan,” tambahnya.
