Kota Kinabalu: Prosiding inkues kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir hari ke-12 pagi tadi menyaksikan pelajar A tampil memberi keterangan yang disifatkan konsisten dan tenang, meskipun hampir dua hari berada di kandang saksi.
Peguamnya, Joan Goh, menegaskan bahawa hubungan pelajar A dengan arwah Zara adalah rapat, namun bukan tahap “best friend forever (BFF)”.
“Dia rapat dengan arwah, tapi belum sampai tahap BFF. Cuma kerana mereka kerap bersama, khususnya sebelum pulang dari sekolah, dia dapat menceritakan secara terperinci apa yang berlaku,” katanya pada sidang media selepas prosiding.
Sementara itu, peguam Datuk Ram Singh menyifatkan jawapan pelajar A kekal konsisten sepanjang sesi soal balas.
“Dia steady, jawab apa yang dia tahu. Kalau tidak tahu, dia akan berterus terang. Jawapannya jelas dan tidak berubah-ubah,” ujarnya.
Untuk rekod, Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sebuah sekolah di Papar pada 16 Julai kira-kira jam 3 pagi, dipercayai akibat terjatuh dari tingkat tiga.
Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) pada 17 Julai jam 1.07 tengah hari sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Mesapol, Sipitang.
