Kota Kinabalu: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor turun padang meninjau keadaan mangsa banjir dan tanah runtuh di beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Penampang dan Putatan, selain menyalurkan bantuan bagi meringankan beban mereka.
Lawatan bermula di PPS Kampung Sarapung pada jam 5.30 petang, di mana Hajiji menyerahkan bantuan berupa wang tunai dan bakul makanan kepada 40 Ketua Isi Rumah (KIR) yang ditempatkan di PPS tersebut.
Bantuan itu disalurkan melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Alam Negeri (JPBN). Walaupun hujan lebat, beliau hadir bagi menzahirkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap nasib mangsa.
Hajiji berkata kerajaan negeri, dengan kerjasama kerajaan persekutuan, sentiasa bersiap siaga untuk memberikan bantuan segera kepada rakyat yang ditimpa musibah.
“Kerajaan tidak akan berkompromi dalam soal kebajikan rakyat. Setiap mangsa bencana akan dibantu sewajarnya supaya mereka tidak berasa terpinggir,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada agensi kerajaan, pasukan keselamatan serta sukarelawan yang bertungkus-lumus menguruskan PPS dan memindahkan mangsa dengan selamat.
Katanya, kerjasama erat semua pihak amat penting bagi memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat terjamin.
Di Putatan, Hajiji meneruskan lawatan ke PPS Dewan Seri Keramat di Ketiau yang menempatkan 40 KIR dan PPS PPR Seri Serigai yang menempatkan 56 KIR, dengan turut menyampaikan bantuan kepada mangsa.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan semua wakil rakyat dan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) supaya memantau rapat situasi bencana di kawasan masing-masing. Hajiji menyifatkan bencana kali ini agak serius kerana melibatkan bukan sahaja banjir, malah tanah runtuh yang turut menyebabkan gangguan bekalan elektrik dan air.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan sambutan Hari Malaysia peringkat negeri yang dijadualkan esok dibatalkan bagi memberi tumpuan kepada usaha membantu mangsa bencana.
Dalam lawatan sama, Hajiji menzahirkan penghargaan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang menyediakan peruntukan RM10 juta sebagai tambahan kepada RM11 juta daripada kerajaan negeri bagi menangani bencana kali ini.
Selain PPS, Ketua Menteri turut meninjau keadaan tanah runtuh di Jalan Tun Fuad Stephens berhampiran Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Tanjung Lipat.
Beliau diiringi Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Christina Liew; Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Sr. Safar Untong; dan Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Mohd Razali Wahab.
