Putrajaya: Mahkamah Rayuan semalam mengekalkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 terhadap bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony, selepas menolak permohonan semakan yang difailkan beliau berhubung kes pemalsuan dokumen.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Azman Abdullah menolak permohonan Peter untuk menyemak semula keputusan terdahulu. Azman menegaskan bahawa ketiadaan laporan polis dalam penghakiman ringkas panel sebelum ini tidak menjejaskan keadilan, kerana perkara itu telah dijelaskan dalam penghakiman penuh bertarikh 1 Ogos lalu.
“Bukan tugas kami untuk mendengar kembali persoalan yang melibatkan keterangan dan fakta yang telah diputuskan oleh panel sebelum ini,” katanya.
Beliau bersidang bersama Hakim Datuk Noorin Badaruddin dan Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz.
Peter, yang juga ADUN Melalap, sebelum ini didakwa memalsukan surat Pejabat Timbalan Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) bertarikh 9 Jun 2014 dengan niat menipu. Kesalahan itu berlaku di Pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Putrajaya, antara 13 Jun hingga 21 Ogos 2014.
Menurut Seksyen 468 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan denda.
Pada 14 Mac lalu, Peter memfailkan semakan untuk mengetepikan sabitan dan hukuman, selain memohon pembatalan waran penjara yang dikeluarkan terhadapnya. Namun, Mahkamah Rayuan tetap mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Mei 2022.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada April 2023 turut menolak rayuan Peter dan mengesahkan sabitan.
Beliau bagaimanapun telah membayar denda RM50,000 yang dikenakan.
