KENINGAU: Polis Keningau berjaya menahan dua lelaki tempatan berusia 30-an dan 60-an selepas menemui hampir 770 gram ganja dalam satu serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Batu 27, Jalan Keningau-Tenom pada 30 hingga 31 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Keningau, Supt Yampil Anak Garai berkata, serbuan tersebut dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau di bawah operasi Ops Tapis.
“Dalam pemeriksaan, polis merampas 12 peket plastik berisi daun kering disyaki ganja seberat 98.96 gram serta tiga peket plastik berlogo ‘Gucci’ dan satu bungkusan berisi ketulan mampat daun kering disyaki ganja seberat 669.66 gram,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Kesemua dadah yang dirampas dianggarkan mempunyai berat keseluruhan 768.62 gram dan dipercayai untuk tujuan pengedaran.
Susulan itu katanya, pada Selasa (5 Ogos) seorang lelaki tempatan berusia 30-an telah dituduh di Mahkamah Majistret Keningau di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, seorang lagi suspek berusia 60-an dibebaskan tanpa syarat selepas polis mendapati tiada bukti kukuh yang mengaitkannya dengan dadah yang dirampas.
Supt Yampil menegaskan bahawa PDRM Keningau akan meneruskan operasi secara agresif untuk membanteras kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah, demi memastikan keamanan dan kesejahteraan masyarakat di daerah ini.
“Kami komited untuk memastikan jenayah berkaitan dadah dapat dikekang daripada terus menular,” tegas beliau.
