KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, menyelar kenyataan terbaru Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, yang berjanji untuk melupuskan pinjaman pendidikan seperti PTPTN dan pinjaman Yayasan Sabah, serta memberikan biasiswa penuh kepada pelajar Sabah sekiranya kembali berkuasa.
Nizam menyifatkan janji itu sebagai retorik politik populis yang diulang setiap kali menjelang pilihan raya, tanpa sebarang bukti pelaksanaan ketika Warisan berkuasa dari 2018 hingga 2020.
“Rakyat Sabah masih ingat, ketika beliau menjadi Ketua Menteri, tiada satu pun dasar pelupusan hutang pendidikan dilaksanakan. Malah, tiada inisiatif besar dalam pendidikan yang benar-benar memberi impak kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau menyifatkan tindakan Shafie sebagai cubaan memperbodohkan rakyat dengan janji lama yang dibungkus semula untuk meraih undi, khususnya golongan muda.
Sebaliknya, tegas Nizam, Kerajaan Negeri Sabah di bawah pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor telah menunjukkan komitmen sebenar dalam memperkasa pendidikan rakyat melalui pelbagai dasar konkrit dan pelaksanaan menyeluruh.
Antara inisiatif kerajaan GRS yang disebut beliau termasuklah, dana Bantuan Pendaftaran IPT untuk keluarga berpendapatan rendah; program Dermasiswa Sabah Maju Jaya: penambahan peruntukan biasiswa Yayasan Sabah; pembaikan sekolah daif luar bandar; dan penyaluran peruntukan terus kepada mahasiswa di luar negeri.
“Semua ini bukan janji di atas pentas ceramah, tetapi hasil perancangan dan pelaksanaan yang bertanggungjawab dari segi kewangan negeri,” katanya.
Beliau turut mengingatkan pengundi, khususnya anak muda Sabah, agar tidak mudah terpedaya dengan retorik pembangkang yang hanya muncul ketika musim pilihan raya.
“Pendidikan anak-anak Sabah memerlukan perancangan jangka panjang yang mampan, bukan janji populis yang hanya muncul bila kuasa sudah hilang,” ujar Nizam.
Katanya lagi, kerajaan GRS akan terus memberi keutamaan kepada pendidikan sebagai asas kepada pembangunan modal insan dan kemajuan negeri.
