KOTA KINABALU: Aktiviti penyelenggaraan (turnaround) di Sabah Oil and Gas Terminal (SOGT) milik Petronas yang sebelum ini dijadualkan bermula pada 1 Ogos kini ditangguhkan ke 5 hingga 11 Ogos 2025.
Ini sekali gus memberi ruang kepada loji janakuasa bebas (IPP) menjalankan persiapan teknikal yang lebih rapi.
Sabah Electricity Sdn Bhd (SE) dalam kenyataan semalam menyambut baik penjadualan semula itu yang akan membolehkan dua loji IPP utama, Kimanis Power dan SPR Energy melakukan penukaran operasi daripada gas kepada diesel secara lebih lancar tanpa menjejaskan kestabilan sistem grid Sabah.
“Proses penukaran bahan api ini memerlukan perancangan dan pelaksanaan teliti agar kesinambungan bekalan kepada pengguna tidak terjejas,” jelas kenyataan itu.
Terdahulu, SE telah mengeluarkan amaran awal bahawa kerja penyelenggaraan SOGT dari 1 hingga 7 Ogos dijangka akan menjejaskan kapasiti penjanaan tenaga Sabah sebanyak 195 megawatt (MW).
Katanya, ia berpunca daripada kegagalan loji janakuasa IPP untuk beralih kepada diesel dalam tempoh tersebut, sekaligus mencetuskan kebimbangan terhadap kemungkinan catuan berskala besar di Sabah dan Labuan.
Ketua Pegawai Eksekutif SE Datuk Ir. Ts. Mohd Yaakob Jaafar, pada waktu itu memohon agar Petronas menangguhkan aktiviti turnaround sehingga sistem penjanaan kembali stabil, demi mengelakkan gangguan bekalan kepada hampir 600,000 isi rumah.
SE turut menekankan bahawa semua pihak berkepentingan termasuk Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECOS), loji-loji IPP serta agensi berkaitan telah menjalankan pelbagai persiapan sejak awal tahun bagi meminimumkan risiko gangguan bekalan.
Orang ramai disarankan untuk terus merujuk kepada laman Facebook rasmi dan aplikasi mudah alih SE bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan status bekalan dan sebarang catuan yang mungkin berlaku.
