TAWAU: Dua individu cedera selepas kenderaan pacuan empat roda (4-Wheel Drive) yang mereka naiki hilang kawalan dan merempuh kenderaan lain yang berada di kawasan tempat letak kereta di Jalan menuju ke Sungai Burong, pada awal pagi Selasa.
Menurut laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Tawau, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui MERS999 pada jam 1.37 pagi, sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau dengan kekuatan 10 anggota digerakkan ke lokasi sejauh 44 kilometer dan tiba pada jam 2.16 pagi.
Komander Operasi, PBK I Rosliee Suyut, berkata kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis Double Cab yang dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh beberapa kenderaan yang berada di kawasan parkir.
“Setibanya di lokasi, didapati terdapat dua orang mangsa tersepit dalam kenderaan. Pasukan bomba segera menjalankan kerja penyelamatan dengan menolak kerusi pemandu dan penumpang ke belakang untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa.
“Mangsa lelaki berusia 55 tahun mengalami kecederaan di bahagian kaki dan dada dan dihantar ke hospital menggunakan jentera Emergency Medical Rescue Services (EMRS), manakala seorang mangsa wanita berusia 43 tahun yang mengalami patah kaki kiri dan kecederaan dalaman dibawa ke hospital menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari Balung.
“Pasukan turut memberikan rawatan awal kepada mangsa termasuk memasang C-Collar, menyambung bekalan oksigen dan mengangkat mangsa menggunakan strecher,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Operasi yang turut disertai oleh PDRM dan KKM ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.43 pagi selepas memastikan tiada bahaya lain di lokasi.
Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa.
