PENAMPANG: Polis berjaya memberkas seorang lelaki warga asing berusia 34 tahun yang disyaki terlibat dalam kes amang seksual terhadap seorang pelajar perempuan, susulan penularan video berkaitan kejadian tersebut di media sosial baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton, dalam satu kenyataan media pada Selasa memaklumkan bahawa penahanan suspek dilakukan hasil risikan dan maklumat awam oleh sepasukan anggota dari Balai Polis Putatan.
“Suspek ditahan di tepi jalan di kawasan Putatan pada 28 Julai, jam 6.00 petang, berkait laporan polis bertarikh 22 Jun 2025 (Putatan/RPT/003056/25),” katanya.
Superintendan Sammy turut merakamkan penghargaan kepada orang awam yang membantu menyalurkan maklumat serta mengucapkan tahniah kepada pegawai dan anggota Balai Polis Putatan atas kecekapan mereka dalam usaha mengesan dan menangkap suspek.
Suspek kini sedang direman dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara dan sebatan jika disabitkan kesalahan.
Polis juga sedang melengkapkan kertas siasatan bagi tindakan lanjut oleh pihak pendakwaan.
Orang ramai dinasihatkan untuk terus bekerjasama dengan pihak berkuasa dan tidak menyebarkan video atau maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan siasatan atau sensitiviti mangsa.
