KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Sabah menerusi syarikat milik penuh, SMJ Energy (SMJE) akan memperoleh 25 peratus ekuiti dalam kemudahan nearshore floating liquefied natural gas (ZLNG) bernilai USD3.1 bilion yang sedang dibangunkan di Sipitang selepas termeterainya Perjanjian Induk (Head of Agreement – HOA) bersama PETRONAS di Malaysia Petroleum Club, hari ini.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang menyaksikan majlis menandatangani perjanjian itu berkata, kerjasama strategik ini merupakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha merealisasikan matlamat jangka panjang pembangunan Sabah.
“Melalui pelaburan strategik seperti ZLNG, kita akan memperkukuh daya tahan ekonomi negeri dan memastikan sumber asli Sabah memberi manfaat secara langsung kepada kesejahteraan rakyat,” katanya.
Kemudahan ZLNG yang berkapasiti 2 juta tan setahun (MTPA) itu kini dalam pembinaan dan dijangka mula beroperasi pada separuh kedua tahun 2027.
Projek ini akan menyokong perkembangan industri LNG Sabah yang kini turut melibatkan dua lagi kemudahan terapung, iaitu PFLNG1 (1.2 MTPA) dan PFLNG2 (1.5 MTPA) yang telah beroperasi di perairan Sabah.
Kerajaan Negeri turut mengumumkan hasrat untuk memperoleh 40 peratus kepentingan dalam PFLNG1 menerusi SMJ Energy, dengan proses due diligence dijangka bermula pada separuh kedua tahun ini.
Sejak termeterainya Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) bersama PETRONAS pada Disember 2021, SMJ Energy berkembang pesat di mana syarikat itu kini memegang 50% ekuiti dalam aset pengeluaran minyak Samarang PSC; 10% ekuiti dalam LNG9; 25% ekuiti dalam kompleks petrokimia SAMUR; pemilikan penuh terhadap Sabah International Petroleum (SIP) yang mengoperasikan aset FPSO dan FSO.
SMJ Energy juga memiliki hak free carry dan back-in dalam blok penerokaan SB409 (20%), SB403 (20%), SB306A (15%) dan SB306B (15%).
Ketua Pegawai Eksekutif SMJ Energy, Datuk Dr Dionysia Kibat berkata, penyertaan dalam projek ZLNG merupakan sebahagian daripada pelan strategik syarikat untuk mempelbagaikan dan mengukuhkan kedudukan dalam sektor huluan, LNG dan petrokimia.
“Kami adalah pelabur kewangan yang berhemah dengan pendekatan disiplin dalam membina portfolio. Pelaburan ini sejajar dengan mandat kami untuk menjana aliran tunai stabil dan berkualiti dalam jangka panjang,” katanya.
Sabah juga sedang giat memperkukuh agenda industri hiliran, Sabah Energy Corporation (SEC) yang bertindak sebagai pengagregat dan pengedar gas negeri, memainkan peranan penting dalam memastikan bekalan gas domestik yang stabil untuk industri negeri ini.
Antara projek ikonik yang diterajui SEC termasuklah bekalan gas kepada loji keluli hijau E-Steel bernilai RM31 bilion di Sipitang Oil and Gas Industrial Park (SOGIP) pelaburan strategik yang menyokong agenda pendiversifikasian industri Sabah.
