TAWAU: Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai mengugut untuk membunuh bekas teman wanitanya dalam satu kejadian di sebuah pasar raya di Jalan Sin Onn, tahun lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superitendan Champin Piuh berkata, kejadian berlaku pada 24 November tahun lalu, suspek dilaporkan telah datang ke tempat kerja bekas teman wanitanya di sebuah pasaraya dan mengeluarkan kata-kata ugutan kepada rakan sekerja mangsa, meminta agar wanita itu membuka pintu sebelum dia bertindak agresif.
Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek terlebih dahulu mendesak rakan pengadu untuk berjumpa dengan mangsa sebelum mengugut akan mencederakan mereka.
“Suspek dilaporkan mengeluarkan kata ugutan akan mencederakan dan akan membunuh mangsa sekiranya mangsa tidak keluar dari bilik rehat pekerja,” katanya.
Tambah beliau, hasil siasatan dan risikan lanjut, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Tawau berjaya mengesan dan memberkas suspek di Hospital Tawau kira-kira jam 3.00 petang, Selasa lalu.
Katanya, suspek warga tempatan berusia 34 tahun itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar segera melaporkan sebarang bentuk ugutan atau ancaman yang diterima kepada pihak polis untuk tindakan segera.
