LAHAD DATU: Seorang wanita maut manakala 13 lagi cedera selepas sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux Single Cab yang dinaiki 15 orang terbabas sendiri lalu terjunam ke dalam gaung sedalam 15 meter di kawasan Ladang Permai, awal pagi tadi.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.53 pagi.
Susulan itu, sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu digerakkan ke lokasi sejauh 14 kilometer dan tiba pada jam 6.08 pagi.
Komander Operasi, PB Yusuf Kassim memaklumkan bahawa semua 15 mangsa, terdiri daripada tujuh lelaki dewasa, tujuh wanita dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki.
Kesemua mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba.”Pasukan bomba kemudian membantu mengangkat mangsa ke atas jalan raya untuk tindakan susulan.
“Seorang mangsa wanita berusia 33 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mayat diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
“13 mangsa lain mengalami kecederaan, manakala seorang (pemandu) selamat dan kesemua mereka telah dibawa ke hospital menggunakan ambulans KKM untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.53 pagi selepas pihak bomba memastikan kawasan kejadian selamat.
