KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) bakal menerima manfaat daripada pelaksanaan pelan intervensi jangka pendek bernilai RM1 juta yang disalurkan oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam usaha mengurangkan gangguan bekalan air di kampus berkenaan.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri PETRA, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata pelan tersebut dilaksanakan melalui kerjasama strategik antara PETRA, Jabatan Bekalan Air (JBA), dan pengurusan UMS sebagai sebahagian usaha segera menangani isu yang telah lama membelenggu lebih 3,000 pelajar, khususnya di Kolej Kediaman Tun Mustapha dan Kolej Kediaman Tun Fuad.
“Intervensi ini membabitkan pembinaan saluran agihan khas bagi menyambung sumber air bawah tanah yang telah dibangunkan oleh UMS, selain penambahan kapasiti tangki air bawah tanah sebanyak 0.13 juta liter.
“Turut dilaksanakan ialah pemasangan injap kawalan automatik (automated modulating valve) untuk menstabilkan aras air dalam tangki servis universiti,” jelas beliau menerusi satu kenyataan di Facebook selepas mengadakan lawatan kerja ke UMS bagi meninjau pelaksanaan projek tersebut.
Tambah beliau, bagi memastikan tekanan air ke kawasan kediaman pelajar mencukupi, JBA akan menyediakan pam penggalak (in-line booster pump) dari tangki servis ke dua kolej kediaman berkenaan menggunakan saluran by-pass sedia ada yang sebelum ini telah dibina oleh pihak universiti.
Projek intervensi ini dijangka siap dalam tempoh sebulan dan mampu menyumbang kepada penambahbaikan sistem bekalan air di kampus secara menyeluruh.
Fadillah turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, termasuk Kerajaan Negeri Sabah, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), pengurusan UMS serta agensi-agensi teknikal atas komitmen dan kerjasama erat dalam menjayakan usaha ini.
Inisiatif ini mencerminkan kesungguhan Kerajaan Persekutuan dalam menangani isu asas yang memberi kesan langsung kepada kesejahteraan pelajar dan warga kampus, khususnya di Sabah.
