TAWAU: Polis menahan seorang lelaki kerana disyaki memandu secara melulu dan menunjukkan isyarat lucah kepada pengguna jalan raya lain dalam kejadian di persimpangan Jalan Kobuta, Batu 3, Jalan Apas, Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek berusia 32 tahun itu ditahan kira-kira jam 2.50 petang oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Tawau di hadapan sebuah penginapan sekitar bandar Tawau, pada Sabtu.
“Dalam kejadian pada 9 Julai lalu kira-kira jam 1 petang, mangsa yang merupakan seorang juruteknik wanita sedang memandu kenderaan Perodua Ativa dari arah Jalan Apas apabila tiba-tiba sebuah kenderaan Perodua Myvi keluar dari simpang secara melulu,” katanya.
Menurutnya, tindakan suspek menyebabkan mangsa terpaksa membrek secara mengejut dan membunyikan hon sebagai amaran, sebelum suspek turun dari kenderaan dan menunjukkan isyarat lucah serta mengeluarkan kata-kata cabaran untuk bergaduh.
“Mangsa berasa terganggu dan ketakutan atas perbuatan suspek lalu membuat laporan polis untuk tindakan lanjut,” ujarnya.
Tambahnya, siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai enam rekod jenayah lampau, membabitkan kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya, termasuk Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) yang direkodkan di Papar, Kuala Lumpur dan Tawau.
Katanya, suspek ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu dengan cuai dan membahayakan pengguna jalan raya lain.
Jelasnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan orang awam agar sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya serta mengawal emosi ketika berhadapan situasi tegang di jalan raya.
Tegasnya, sebarang tindakan agresif atau ugutan terhadap pengguna jalan raya lain bukan sahaja membahayakan keselamatan, malah boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Orang ramai juga digesa segera melaporkan sebarang kejadian membabitkan kelakuan mencurigakan atau membahayakan kepada pihak polis untuk tindakan segera.
