RANAU: Seorang pemandu bas warga emas cedera manakala dua penumpang pengsan selepas sebuah bas ekspres bertembung dengan kereta jenis Proton Saga dalam kemalangan yang berlaku di Jalan Ranau-Kundasang malam tadi.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.16 malam.
Katanya, tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau segera digerakkan ke lokasi kejadian sejauh 17 kilometer dan jentera bomba tiba di tempat kejadian pada jam 10.37 malam.
Komander Operasi, PBK II Nickson Juni memaklumkan kemalangan tersebut melibatkan 23 mangsa, dengan 21 mangsa dilaporkan selamat tanpa sebarang kecederaan.
“Bagaimanapun, pemandu bas yang berusia 65 tahun mengalami kecederaan, manakala dua penumpang dilaporkan tidak sedarkan diri akibat impak kemalangan.
“Mangsa yang cedera dan tidak sedarkan diri menerima rawatan awal daripada pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum dihantar ke Hospital Ranau menggunakan ambulans bagi rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ni.
Dalam kejadian itu, turut dimaklumkan bahawa salah seorang daripada penumpang bas adalah warga China, manakala selebihnya merupakan warganegara Malaysia.
Pemandu kereta Proton Saga pula, seorang lelaki dewasa, dilaporkan selamat.
Operasi turut dibantu oleh tiga anggota KKM, dua anggota polis (PDRM), dan tiga anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM).
Setelah memastikan tiada lagi bahaya, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.44 malam.
