LAHAD DATU: Exco Srikandi Bersatu Malaysia, Hajah Balkis Haji Kalinggalan, menzahirkan tekad dan komitmen tinggi untuk memacu pembangunan konsisten serta memperkukuh kesejahteraan rakyat di seluruh kawasan Lahad Datu.
Dalam satu kenyataan media hari ini, Hajah Balkis yang juga Bendahari Srikandi Sabah dan Ketua Srikandi BERSATU Bahagian Lahad Datu, menyatakan hasratnya untuk menjadi pemimpin mesra rakyat yang sentiasa berada dekat di hati masyarakat, selain bertindak sebagai jambatan menyuarakan suara rakyat ke peringkat yang lebih tinggi.
“In Shaa Allah, saya mahu Lahad Datu dikenali di seluruh pelusuk dengan pembangunan yang lestari dan rakyatnya berdaya saing. Keutamaan saya adalah membantu rakyat menjana pendapatan, khususnya anak-anak muda yang terkesan dengan isu pengangguran,” ujar beliau.
Beliau menekankan bahawa generasi muda Lahad Datu perlu digerakkan melalui peluang pekerjaan, latihan kemahiran serta galakan dalam bidang keusahawanan agar dapat menyumbang secara aktif kepada pertumbuhan ekonomi daerah.
Dalam pada itu, Hajah Balkis turut menegaskan komitmennya dalam memperjuangkan hak dan peranan wanita serta memastikan isu-isu kebajikan keluarga terus diberi perhatian sewajarnya.
“Dengan sokongan padu seluruh warga Lahad Datu dan izin Allah SWT, saya yakin cita-cita kita untuk membangunkan Lahad Datu sebagai daerah yang maju, makmur dan sejahtera dapat direalisasikan bersama. Ayuh, kita bangkit dan majukan daerah ini untuk generasi akan datang,” tambahnya.
Beliau juga menyeru agar rakyat berani membuat perubahan dan memberi peluang kepada pemimpin baharu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan datang.
Hajah Balkis kini disebut sebagai antara calon muka baharu berpotensi daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) untuk diketengahkan dalam PRN kali ini, dengan tumpuan kepada suara wanita, pembangunan inklusif dan aspirasi generasi muda Lahad Datu.
