TAWAU: Sebuah lori pengadun simen seberat 10 tan terbabas sendiri dan merempuh bangunan pejabat KKRMC Trading Sdn Bhd di Jalan Apas Batu 5, pagi tadi, menyebabkan dua lelaki cedera ringan dalam kejadian tersebut.
Menurut laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Tawau, panggilan kecemasan diterima pada jam 8.50 pagi.
Susulan itu, lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau digerakkan ke lokasi menggunakan jentera FRT dan tiba pada jam 9.03 pagi.
Komander Operasi, PBK II (KUP) Jehrey Ibno, memaklumkan bahawa salah seorang mangsa telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam dan dibawa ke hospital oleh pasukan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ketibaan pasukan bomba.
Kedua mangsa adalah lelaki yang masing-masing berusia 60 dan 36 tahun dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan.
Pasukan bomba seterusnya menjalankan pemeriksaan keselamatan di lokasi bagi memastikan tiada bahaya susulan termasuk risiko struktur atau kebocoran bahan berbahaya.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.14 pagi.
Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa.
