KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) terus menunjukkan ketegasan dalam memastikan pasar-pasar awam di bandar raya ini kekal bersih, teratur dan mematuhi undang-undang.
Dalam satu kenyataan hari ini, DBKK memaklumkan bahawa dua operasi penguatkuasaan berperingkat telah dilaksanakan oleh Jabatan Pelesenan pada 9 Julai 2025, melibatkan Pasar Besar Kota Kinabalu dan Pasar Ikan Kota Kinabalu.
Operasi pertama diadakan sekitar jam 6.30 pagi di kawasan tempat letak kereta Pasar Besar, di mana dua penjaja dikesan menjalankan perniagaan tanpa lesen sah.
Bertindak atas kesalahan itu, pihak berkuasa telah menyita tiga plastik sagu dan dua kerusi yang digunakan dalam aktiviti tersebut.
Operasi kedua menyusul jam 8.00 pagi di Pasar Ikan Kota Kinabalu, di mana beberapa penjaja didapati masih ingkar arahan penyimpanan peralatan meskipun notis dan peringatan telah diberikan sebelumnya.
Antara barangan yang dirampas termasuk dua tong buah oren, tiga kerusi kayu, tiga meja kayu dan satu raga.
DBKK dalam kenyataan itu menegaskan bahawa semua penjaja diwajibkan mematuhi syarat lesen, termasuk aspek kebersihan dan kekemasan kawasan perniagaan masing-masing.
Langkah ini penting bagi menjaga imej pasar, serta menjamin keselesaan dan keselamatan pengunjung.
“Kerjasama daripada semua penjaja amat dihargai demi mewujudkan suasana perniagaan yang harmoni dan berdaya saing. Namun DBKK tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk pelanggaran peraturan,” tegas kenyataan itu.
DBKK turut menyeru para penjaja agar lebih bertanggungjawab dan proaktif dalam mematuhi undang-undang bagi memastikan pasar-pasar awam kekal menjadi tumpuan masyarakat dengan suasana yang kondusif dan bersih.
