LAHAD DATU: Seorang lelaki berusia 28 tahun maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua buah motosikal di simpang Kampung Bangkarat, Jalan Lahad Datu–Tungku pada pagi 4 Julai lalu.
Menurut kenyataan Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Supt. Jimmy Panyau, kejadian berlaku sekitar jam 10.30 pagi apabila motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggang mangsa dari arah bandar Lahad Datu ke Tungku secara tiba-tiba mengubah haluan ke kiri jalan.
Dalam masa sama katanya, sebuah motosikal jenis Yamaha R15 yang datang dari arah belakang di lorong yang sama tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian belakang kiri Honda EX5 tersebut.
“Impak daripada pelanggaran itu menyebabkan penunggang Yamaha R15 terbabas ke bahu jalan manakala mangsa yang menunggang Honda EX5 terjatuh dan terseret di lorong kiri jalan.
“Mangsa mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Lahad Datu menggunakan ambulans.
“Walau bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 7.27 pagi hari ini ketika menerima rawatan di Wad 4 hospital berkenaan, manakala penunggang Yamaha R15 pula hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya di sini hari ini.
Pada awalnya, kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, namun berikutan kematian mangsa, siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta yang sama, iaitu menyebabkan kematian akibat pemanduan cuai atau membahayakan.
Polis kini meminta mana-mana individu yang menyaksikan kejadian untuk tampil memberi maklumat dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Insp. Humaidi Harun di talian 089-881255 atau hadir sendiri ke Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu.
Supt. Jimmy turut mengingatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati dan berhemah semasa menunggang atau memandu, demi keselamatan diri dan orang lain.
