KOTA BELUD: Sebuah rumah dua tingkat jenis separuh kekal dan sebuah kereta musnah dalam kebakaran yang berlaku di Kampung Labuan, Kota Belud petang kelmarin.
Menurut kenyataan rasmi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 pada jam 3.06 petang.
Susulan itu tujuh anggota bersama satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud tiba di lokasi pada jam 3.15 petang, kira-kira 7 kilometer dari balai.
Komander Operasi, PBK II KUP Clarice Jimoh memaklumkan bahawa kebakaran melibatkan sebuah rumah dua tingkat bersaiz 60×60 kaki yang terbakar hampir 70 peratus, manakala sebuah kereta jenis Perodua Axia turut musnah 100 peratus dalam insiden itu.
Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dan dua pancutan dengan sumber air sepenuhnya daripada jentera, memandangkan tiada pili bomba di kawasan kejadian.
Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam insiden ini dan kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 5.09 petang sebelum operasi ditamatkan pada jam 6.26 petang.
Turut berada di lokasi ialah dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang membantu mengawal keadaan dan keselamatan kawasan sekitar.
Punca kebakaran masih dalam siasatan dan orang ramai dinasihatkan agar sentiasa memastikan sistem pendawaian dan keselamatan di rumah berada dalam keadaan baik bagi mengelakkan kejadian seumpama ini.
