KOTA KINABALU: Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah hari ini menempelak kenyataan Naib Ketua Pemuda UMNO Sabah, Bobby Balang yang cuba mempolitikkan seruan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berhubung penyebaran berita palsu.
Naib Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, Azrul Ibrahim menyifatkan kenyataan Bobby sebagai tidak bertanggungjawab dan jauh tersasar dari konteks sebenar.
Azrul menegaskan, seruan Hajiji agar rakyat tidak terpengaruh dengan maklumat tidak sahih adalah satu gesaan yang berlandaskan semangat menjaga keharmonian dan kestabilan negeri menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
“Tindakan segelintir pihak menyebarkan naratif songsang hanya akan mengeruhkan suasana dan menjejaskan keyakinan terhadap institusi sedia ada,” tegas Azrul dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Beliau turut membidas tindakan Bobby yang cuba mengaitkan gesaan Ketua Menteri dengan isu pendakwaan dua ADUN Sabah, sambil mengingatkan bahawa Hajiji sejak awal telah menunjukkan komitmen penuh terhadap proses siasatan dan tidak pernah mempertikai mana-mana institusi kehakiman atau penguatkuasaan.
Dalam pada itu, Azrul turut membangkitkan percanggahan dalam kes mahkamah hari ini, apabila seorang pemberi maklumat yang sebelum ini secara terbuka mengaku memberi sogokan kini membuat pengakuan tidak bersalah di mahkamah.
“Ini menimbulkan persoalan besar mengenai kredibiliti dakwaan tersebut. Biarlah sistem kehakiman menilai fakta dan keterangan dengan adil,” katanya.
Tegas Azrul lagi, Pemuda Gagasan Rakyat turut menyarankan agar Bobby Balang bermuhasabah dan menumpukan perhatian kepada kes-kes pendakwaan yang sedang dihadapi oleh pimpinan tertinggi partinya sendiri, termasuk di peringkat negeri.
“Pemuda Gagasan Rakyat juga berpendirian tegas menolak rasuah, namun menuntut agar setiap tuduhan diadili berlandaskan prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang,” katanya.
Beliau turut menyeru agar rakyat, khususnya anak muda Sabah, menolak politik adu domba dan kekal bersatu menjelang PRN17 sebagai medan membina kestabilan dan kekuatan politik negeri.
“Perpecahan hanya akan merugikan rakyat Sabah. Kita perlukan kestabilan demi masa depan yang lebih cemerlang,” tambahnya lagi.
