SIPITANG: Seorang lelaki maut manakala tiga lagi cedera dalam satu kemalangan membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Land Cruiser Prado dan sebuah lori tiga tan bermuatan besi di Kampung Lingkungan Ulu, Jalan Sindumin, petang tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO), panggilan kecemasan diterima pada jam 3.37 petang melalui MERS999, sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sipitang dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 14 kilometer dari balai dan tiba di lokasi pada jam 3.50 petang.
Komander Operasi, PBKI KUP Sahdan Basar, berkata operasi melibatkan enam anggota bersama satu jentera FRT dan satu jentera EMRS.
“Kemalangan membabitkan pertembungan antara Toyota Land Cruiser Prado dengan lori tiga tan membawa muatan besi. Empat orang mangsa berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba dari kenderaan yang terlibat,” katanya.
Daripada empat mangsa, seorang lelaki berusia 45 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Manakala tiga lagi mangsa lelaki – masing-masing berusia 66 dan 50 tahun (cedera parah), serta seorang berusia 47 tahun (cedera ringan) – dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS dan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Operasi turut dibantu oleh lima anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan lima petugas KKM.
Tiada risiko bahaya lain dikesan di lokasi dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.50 petang.
Pihak berkuasa masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kemalangan.
