KUNAK: Seorang lelaki warga emas berusia 74 tahun maut, manakala lapan lagi cedera apabila sebuah van jenis Toyota Hiace yang dinaiki mereka terbabas sendiri ke bahu jalan di Jalan Bukit Ular, laluan Kunak-Lahad Datu, pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi Bomba menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS999 pada jam 7.19 pagi, sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kunak yang diketuai oleh Komander Operasi PBK I Mohd Ridzuan Bin Shahidun dikejarkan ke lokasi kejadian sejauh 40 kilometer. Pasukan tiba di lokasi pada jam 7.50 pagi.
Menurut laporan operasi, kemalangan melibatkan satu van yang dipercayai terbabas sendiri sebelum terhenti di bahu jalan. Sembilan orang mangsa dilaporkan berada dalam van tersebut.
Seorang daripada mangsa, yang dipercayai pemandu van, tersepit di bahagian hadapan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Pasukan bomba menggunakan peralatan khas Hydraulic Power Unit untuk mengeluarkan mangsa sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis.
Lapan mangsa lain yang turut berada dalam van itu mengalami kecederaan pelbagai tahap dan telah diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS Bomba dan KKM sebelum dihantar ke hospital berhampiran menggunakan ambulans dan jentera EMRS.
Senarai mangsa cedera: Lelaki, 70 tahun – Cedera; Wanita, 51 tahun – Cedera; Wanita, 75 tahun – Cedera; Wanita, 58 tahun – Cedera; Lelaki, 73 tahun – Cedera; Lelaki, 46 tahun – Cedera; Lelaki, 73 tahun – Cedera; Wanita, 72 tahun – Cedera.
Operasi menyelamat ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.09 pagi selepas memastikan tiada lagi risiko berbahaya di lokasi kejadian. Turut terlibat dalam operasi adalah 4 anggota KKM dan 2 anggota PDRM.
Ketua Balai BBP Kunak, PPgB Mohamad Omarbatha, mengesahkan kejadian dan menyeru pengguna jalan raya agar lebih berhati-hati ketika melalui laluan berbukit seperti Jalan Bukit Ular yang sememangnya mencabar dari segi struktur muka bumi dan permukaan jalan.
“Kami mengingatkan semua pemandu agar sentiasa memandu dengan berhati-hati terutamanya di awal pagi dan di laluan berselekoh atau berbukit bagi mengelakkan tragedi seperti ini daripada berulang,” katanya.
Insiden ini sekali lagi menjadi peringatan betapa pentingnya aspek keselamatan dan pemanduan cermat di jalan raya – khususnya di kawasan luar bandar Sabah.
