RANAU: Seorang lelaki berusia 41 tahun maut selepas dihempap jentera berat ketika menjalankan kerja-kerja pembaikan di Kampung Montoki, Kundasang petang tadi.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.38 petang.
Susulan itu sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau digegaskan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 26 kilometer dari balai.
Komander Operasi, PBK II Nickson Juni berkata, seramai enam anggota dikerahkan ke lokasi dengan menggunakan satu jentera CFRT dan sebuah unit EMRS.
“Sebaik tiba di lokasi pada jam 5.50 petang, pasukan kami mendapati seorang lelaki tersepit di bawah jentera berat jenis Hitachi ketika melakukan kerja penyelenggaraan terhadap jentera tersebut.
“Pasukan penyelamat segera menjalankan operasi mengeluarkan mangsa dan seterusnya menyerahkannya kepada pihak perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.
Bagaimanapun, pegawai perubatan KKM mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
Operasi disahkan terkawal sepenuhnya pada jam 6.50 petang dan ditamatkan tujuh minit kemudian setelah memastikan kawasan selamat dan tiada lagi risiko bahaya.
Ketua Balai BBP Ranau, PPgB Rantey Fred turut mengesahkan insiden tersebut dan menasihatkan orang ramai agar mengutamakan langkah keselamatan ketika menjalankan sebarang kerja melibatkan jentera berat.
