HYDERABAD: Seorang pelajar sains politik berusia 21 tahun dari Thailand, Suchata “Opal” Chuangsri, mencipta sejarah apabila dinobatkan sebagai Miss World 2025 dalam edisi ke-72 pertandingan ratu cantik berprestij itu yang berlangsung di Hyderabad, India.
Chuangsri menjadi peserta pertama dari Thailand yang memenangi gelaran tersebut sejak pertandingan itu mula dianjurkan 72 tahun lalu. Beliau menewaskan 108 peserta lain dari seluruh dunia dan dinobatkan oleh Miss World 2024, Krystyna Pyszková dari Republik Czech.

Anak jati Phuket yang fasih tiga bahasa
Berasal dari Phuket dan berketinggian 180 cm, Opal fasih berbahasa Thai, Inggeris dan Cina. Beliau kini mengikuti pengajian dalam bidang hubungan antarabangsa di Universiti Thammasat.
Keluarganya menjalankan perniagaan di kawasan bandar lama di Phuket.

Pernah sertai Miss Universe, tetapi ditarik balik
Sebelum ini, Opal mewakili Thailand dalam Miss Universe 2024 dan meraih tempat keempat. Namun pada April 2025, gelarannya ditarik balik oleh pihak penganjur Miss Universe kerana beliau menyertai pertandingan Miss World Thailand 2025 sebelum tamat tempoh 12 bulan sebagai pemegang gelaran terdahulu — satu pelanggaran kontrak.
Pengasas inisiatif bantu pesakit kanser payudara
Opal didiagnosis menghidap kanser payudara pada usia 16 tahun dan telah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan. Pengalaman itu mendorongnya menubuhkan inisiatif “Opal for Her”, sebuah program yang memberi sokongan kepada wanita yang menghidap kanser payudara.
Inisiatif ini telah dijalankannya lebih tiga tahun, bertujuan meningkatkan kesedaran dan memberi keutamaan kepada isu kanser payudara. Kini, beliau berazam memperluaskan impaknya ke peringkat global menerusi platform Miss World.

“Detik ini bukan sekadar kemenangan peribadi, tetapi impian bersama semua gadis muda yang ingin dilihat, didengari dan membawa perubahan. Saya berasa amat terhormat mewakili legasi ini dan mahu gunakan gelaran Miss World untuk mencipta perubahan sebenar,” katanya dalam ucapan pertamanya.
Format pertandingan
Pertandingan Miss World tahun ini menyaksikan penyertaan 108 peserta dari seluruh dunia. Peserta disaring kepada 40 finalis yang dibahagikan kepada empat kumpulan mengikut benua:
- Amerika & Caribbean
- Afrika
- Eropah
- Asia & Oceania
Setiap kumpulan terdiri daripada 10 peserta. Beberapa peserta, termasuk Opal, berjaya ke top 40 secara automatik menerusi acara “fast-track”. Opal menjuarai Asia & Oceania Multimedia Challenge, sekali gus menempah tempat dalam kelompok terbaik.
Jumlah peserta kemudian dikurangkan kepada 20, sebelum disenarai pendek kepada lapan finalis utama.
Keputusan akhir
- Naib juara pertama: Hasset Dereje (Ethiopia)
- Naib juara kedua: Maja Klajda (Poland)
- Naib juara ketiga: Aurelie Joachim (Martinique)
Opal Chuangsri kini memegang gelaran Miss World 2025 dan bertekad untuk menggunakan platform tersebut untuk memperjuangkan isu kesihatan wanita dan membawa inspirasi kepada masyarakat global.
