PUTATAN: Seorang lelaki berusia 42 tahun maut selepas motosikal yang ditunggangnya secara melawan arus telah bertembung dengan sebuah kenderaan dalam kejadian di Jalan Kota Kinabalu – Papar, berhampiran Kampung Meruntum, Putatan pada awal pagi Ahad.
Menurut Ketua Polis Daerah Penampang, Supt. Sammy Newton, kemalangan berlaku kira-kira jam 4.20 pagi apabila sebuah motokar yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 55 tahun dari arah Petagas menghala ke Papar bertembung dengan sebuah motosikal yang disyaki ditunggang secara melawan arus dari arah Kinarut ke Putatan.
“Akibat perlanggaran tersebut, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan bertugas,” menurut kenyataan rasmi daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, semalam.
Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu untuk tujuan bedah siasat.
Pemandu motokar terbabit pula tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah dibawa ke IPD Penampang untuk siasatan lanjut.
Pihak polis sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi peraturan jalan raya bagi mengelakkan kejadian seumpama ini.
