Kumpulan baju hitam membatalkan rancangan mereka turun berhimpun pada 21 Ogos ini selepas dikecewakan ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang gagal mendapat majoriti untuk menjadi Perdana Menteri (PM) baharu.
Kumpulan tersebut dalam satu kenyataan mengumumkan pembatalan himpunan pada 21 Ogos itu atas alasan PM baharu akan dilantik selepas peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan berharap penggantinya dapat memberi fokus kepada isu rakyat bukan berpolitik.
“Perdana menteri yang akan dilantik perlu mempunyai fokus, idea, kemahuan dan keberanian memastikan rakyat Malaysia dibela selepas sekian lama ditindas oleh kerajaan yang asyik berpolitik, tetapi tidak mengendahkan kemahuan rakyat,” kata penganjur Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) dalam kenyataan itu.
Terdahulu, kumpulan baju hitam itu menerima kecaman teruk ekoran tindakan mereka mengadakan himpunan di ibu kota pada hujung Julai lalu ketika krisis kesihatan masih meruncing dan melanggar prosedur operasi standard (SOP).
Kumpulan baju hitam seakan kebal daripada virus Covid-19 dan tidak hiraukan kepada bahaya ancaman penularan wabak itu.
Beberapa kelibat orang kuat Anwar dilihat bersama menyertai himpunan Julai lalu, antaranya Naib Presiden PKR Tian Chua dan Setiausaha Parlimen Anwar, Abd Malek Hussin yang berkongsi gambar masing-masing dalam akaun Facebook bersolidariti bersama kumpulan baju hitam hari ini.
Himpunan tersebut disertai sekumpulan individu dengan membawa sepanduk mengkritik dan mengecam kerajaan Perikatan Nasional (PN), mereka juga membawa sepanduk yang senada dengan ucapan Ketua Pembangkang di Parlimen baru-baru ini.
Pelbagai perkataan yang dilaungkan seperti ‘Hidup Rakyat’, ‘Bangkit Anak Muda dan ‘Kerajaan Gagal’, dengan kebanyakannya mengecam kerajaan.
Sumber : Agenda Daily