KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mengesahkan komitmen mereka untuk bekerjasama dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan datang.
Perkara tersebut diputuskan dalam satu mesyuarat kepimpinan tertinggi yang berlangsung pada 8 Mei 2025, melibatkan Pengerusi PH merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta Pengerusi BN merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia, kedua-dua pemimpin utama itu telah mencapai kata sepakat untuk menjalin kerjasama strategik, termasuk dalam soal pengagihan kerusi dan perundingan bersama parti-parti lain di Sabah.
Menurut kenyataan itu, bentuk kerjasama akan diperincikan oleh kepimpinan negeri masing-masing dari PH dan BN di Sabah, manakala keputusan muktamad hanya akan dibuat oleh kepimpinan tertinggi di peringkat kebangsaan.
Setiausaha Agung Pakatan Harapan, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, dan Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Dr Asyraf Wajdi Dusuki, turut menandatangani kenyataan berkenaan, sekali gus mengukuhkan komitmen antara dua gabungan utama kerajaan perpaduan dalam menghadapi PRN akan datang.
