
PUTATAN: Seorang lelaki dilaporkan mengalami patah kaki selepas van jenis Nissan Urvan yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori treler dalam kejadian kemalangan di Jalan Lintas berdekatan dengan bangunan RTM di sini, awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, PKPgB Noorsherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 5.16 pagi.
Susulan panggilan itu katanya, seramai empat anggota dari BBP Putatan diketuai PBK II Redion Lai bersama agensi PDRM dan KKM telah dikejarkan ke lokasi kejadian sejauh 10 kilometer dan tiba pada jam 5.23 pagi.
“Lapor setibanya di lokasi, kemalangan melibatkan sebuah lori treler dan sebuah Nissan Urvan telah bertembung.
“Terdapat dua mangsa yang terlibat, iaitu pemandu dan penumpang yang berada di Nissan Urvan.
“Pemandu, iaitu lelaki berusia 32 tahun telah tersepit dan patah kaki berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba, manakala penumpang, iaitu perempuan berusia 61 tahun hanya mengalami cedera ringan,” katanya di sini, hari ini.
Kedua mangsa yang terlibat seterusnya diserahkan kepada pasukan perubatan untuk rawatan lanjut.
Pemeriksaan seterusnya dijalankan di lokasi bagi memastikan tiada bahaya lain dan operasi seterusnya ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.32 pagi.