
TUARAN: Tujuh mangsa termasuk dua kanak-kanak perempuan dilaporkan mengalami kecederaan selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan Toyota Avanza dan Nissan Navara di Kampung Kapa awal pagi tadi.
Seorang lelaki, 35 tahun mengalami cedera parah akibat tersepit dalam kenderaan Toyota Avanza yang kemudian berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba.
Manakala lima lagi mangsa dalam kenderaan sama mengalami cedera ringan dan seorang pemandu Nissan Navara turut dilaporkan mengalami cedera ringan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, PKPgB Mohammad Nor Amit berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 3.02 pagi.
Susulan itu katanya, seramai 13 anggota dari BBP Tuaran diketuai PBK II Ab Azman Asiman bersama agensi PDRM dan pasukan perubatan telah dikejarkan ke lokasi kejadian sejauh 12 kilometer dan tiba pada jam 3.20 pagi.
“Terdapat seorang mangsa lelaki di kenderaan Toyota Avanza dilaporkan tersepit berjaya dikeluarkan oleh Pasukan Bomba, manakala lima orang mangsa termasuk pemandu di kenderaan Nissan Navara hanya mengalami cedera ringan.
“Semua mangsa telah dihantar ke Hospital menaiki jentera EMRS dan Ambulans KKM bagi menerima rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Setelah memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.20 pagi.