
PEKAN, PAHANG: Desakan untuk menunjuk status sosial antara punca ramai kakitangan awam di semua peringkat membaut pinjaman wang ‘loan’ berlebihan sehingga bankrap, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Justeru itu katanya, kakitangan awam perlu berbelanja mengikut kemampuan sendiri.
“Terdapat kakitangan awam dianugerahkan kemahiran menguruskan berjuta ringgit wang kerajaan, namun dia tidak mampu menguruskan wang sendiri sehingga terpaksa membuat pinjaman.
“Kita sepatutnya hidup atas kemampuan kita, kalau kita mampu pakai telefon bimbit jenama Xiaomi, jangan cuba pakai iPhone.
“Terdapat kakitangan awam yang suka bermewah dari segi penampilan, sebagai contoh sekiranya mereka mampu memiliki kereta Perodua Myvi, janganlah cuba pakai Toyota Vios,” katanya pada Program Rahmah Ramadan Madani di sini, semalam
Tambah Shamsul, Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan Tatatertib) menetapkan potongan pinjaman perlu berada sekurang-kurangnya pada paras 40 peratus daripada emolumen bulanan kecuali menunaikan haji dan pembelian rumah, sekiranya peraturan ini diikuti risiko bankrap dapat dibendung.
“Arahan telah dikeluarkan pada ketua jabatan, mereka perlu menghantar kakitangan yang berhadapan masalah kewangan mendapat khidmat kaunseling dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).
Terdahulu, Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI), Datuk M Bakri Abd Majid mendedahkan gaya hidup golongan muda hari ini yang suka ‘menunjuk-nunjuk’ menjadi punca ramai antara mereka terjerat dengan masalah kewangan, seterusnya diisytiharkan bankrap.
Sehubungan itu beliau menyarankan golongan pekerja muda khususnya graduan yang baru memasuki alam pekerjaan supaya disekat daripada memiliki kad kredit kerana antara punca ramai terjerat dengan masalah kewangan serius.
Sumber: Berita Harian