BEAUFORT: Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort telah membantu memindahkan kira-kira 110 mangsa terjejas banjir melibatkan lima kampung di daerah ini semalam.
Lima kampung yang terlibat semalam termasuklah, Kampung Cina; Kampung Suasa Beaufort; Kampung Padas Vally; dan Kampung Pintas Kubu.
Kesemua mangsa telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan Pusat Pemindahan Kekal (PPK) yang diaktifkan di daerah tersebut.
Ketua BBP Beaufort, PPgB Mohammad Hasbullah Nenggok berkata, pihaknya menerima panggilan bantuan memindahkan mangsa banjir tersebut pada jam 10.30 malam, semalam.
Susulan itu katanya, seramai 23 anggota bomba diketuai Komander Operasi PBK II Abdul Khalid Latip telah dikejarkan ke lokasi sejauh 6 kilometer dan tiba pada jam 10.35 malam.
“Pusat Gerakan Operasi JBPM Sabah dan Bilik Kawalan BBP Beaufort menerima panggilan bencana banjir di Daerah Beaufort.
“Pasukan Bomba sedang memantau keadaan banjir di kampung yang terlibat seterusnya menjalankan operasi pemindahan mangsa.
Jumlah mangsa yang dipindahkan oleh pasukan Bomba setakat ini anggaran 110 orang,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa.
