
TAWAU: Seorang lelaki ditahan polis akibat pernah bertindak mengugut bunuh adik kandungnya sendiri dengan menggunakan pisau dalam kejadian di Kalabakan sini, baru-baru ini.
Polis Tawau dalam satu kenyataan media semalam berkata, mangsa yang takut dengan ugutan dan ancaman tersebut telah tampil ke balai polis untuk membuat laporan polis.
“Semasa sedang bekerja di sebuah kedai di kawasan Kalabakan, seorang lelaki didatangi oleh abang kandungnya yang tiba-tiba marah tanpa sebab yang jelas dan membuat provokasi.
“Suspek sebelum ini juga pernah mengancam mangsa dengan ugutan bunuh menggunakan pisau. Risau akan keselamatannya, mangsa tampil di balai polis untuk membuat laporan.
Bertindak atas laporan polis yang dibuat, sepasukan polis daripada Balai Polis Kalabakan telah menahan suspek seorang lelaki tempatan berusia 20-an di tepi jalan kawasan Kalabakan kerana disyaki terlibat dengan kes yang disiasat,” katanya, semalam.
Suspek telah pun dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.