
KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Peter Anthony masih ada baki 14 hari untuk menghabiskan semua saluran undang-undang yang ada sebelum kerusi DUN itu dikosongkan, kata Speaker DUN Sbaah, Datuk Seri Kadzim M Yahya.
Jelasnya, status ADUN Peter akan diputuskan selepas semua peruntukan undang-undang di bawah Perlembagaan Negeri Sabah telah dipenuhi.
Peruntukan itu katanya di bawah Perlembagaan Negeri Sabah yang berkaitan dengan kehilangan kelayakan seorang ADUN.
“Secara teknikal, kerusi (DUN Melalap) tidak kosong kerana di bawah peruntukan, seperti yang saya katakan, peruntukan itu ada lagi 14 hari (bermula semalam) untuk beliau (Peter) menghabiskan semua saluran undang-undang yang ada.
“Jadi, terpulang kepada beliau untuk menghabiskannya dalam tempoh 14 hari. Jika dalam tempoh 14 hari, tempoh itu tamat dan beliau telah menghabiskan semua saluran undang-undang, maka kerusi itu akan dikosongkan,” katanya dalam sidang media di DUN Sabah di sini, semalam.
Kadzim berkata demikian bagi mengulas berkaitan kes jenayah ADUN Melalap yang ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada Selasa lalu.
Dalam hal itu, perintah sabitan dan hukuman yang telah dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen telah dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan.
Katanya, mengikut Perkara 17 (1) (e) di bawah Perlembagaan Negeri Sabah, mana-mana ADUN yang disabitkan atas kesalahan oleh Mahkamah di Persekutuan dan dihukum penjara untuk tidak kurang dari setahun atau denda sebanyak tidak kurang RM2,000 akan hilang kelayakan sebagai ADUN.
Media sebelum ini melaporkan, Mahkamah Rayuan menolak rayuan terakhir bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah itu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman dalam kes yang dikaitkan dengan kontrak penyelenggaraan dan perkhidmatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) 11 tahun lalu.
Peter kini akan menjalani hukuman penjara tiga tahun di Penjara Kajang.