
TAWAU: Seorang lelaki warga asing berusia lingkungan 50-an dipercayai bertindak sebagai ‘transporter’ ditahan polis bersama dadah jenis syabu yang dianggar bernilai RM120,000 dalam satu operasi yang dijalankan di sekitar daerah ini pada 26 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau kira-kira jam 2.30 petang selepas dilihat dalam keadaan yang mencurigakan berada di kawasan sebuah kawasan kebun kelapa sawit di sekitar Jalan Air Panas, Tawau.
Katanya, hasil pemeriksaan terhadap suspek, pihak Polis telah merampas sebuah beg plastik bertangkai yang mengandungi dua peket plastik keemasan yang mengandungi bahan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 2.10 kilogram dengan nilai anggaran berjumlah RM120,000.
“Dalam pemeriksaan yang dijalankan, pihak polis menemui dadah jenis syabu yang dianggarkan seberat 2.10 kilogram dengan nilai anggaran dadah bernilai RM120,000 yang disyaki untuk diedarkan,” katanya dalam satu sidang media di IPD Tawau, pada Selasa (4 Mac).
Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek berperanan sebagai transporter yang bertanggungjawab membawa bekalan dadah bagi tujuan pengedaran di sekitar daerah ini.
Tambahnya, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dari sebarang jenis dadah serta tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
Mengulas lanjut, dadah yang dirampas dipercayai mampu menampung keperluan penagih dalam jumlah yang besar.
Beliau berkata, suspek kini ditahan reman sehingga 6 Mac 2025 bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, jika disabitkan kesalahan hendaklah dijatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan hendaklah jika tidak dijatuhkan hukuman mati dihukum dengan sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan.
ACP Jasmin turut menyeru orang ramai agar terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membanteras aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah di daerah ini.