
PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri Ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk dirakam keterangan sebelum ini sebagai seorang suspek, bukan saksi, kata Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.
Jelas beliau, ini berdasarkan bukti wang tunai yang ditemukan adalah terkait dengan Ismail Sabri.
“Dalam hal ini, saya boleh katakan beliau adalah seorang suspek. Ini kerana beliau telah diarah membuat pengisytiharan harta di bawah Seksyen 36(1) Akta SPRM 2009.
“Kedua, bila terjumpa wang-wang ini, beliau (Ismail Sabri) antara yang dikaitkan, jadi kita perlu dapatkan penjelasan daripada beliau mengenai penemuan wang ini,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Semalam, SPRM mengesahkan telah merampas wang tunai RM170 juta dalam pelbagai mata wang antarabangsa (Baht, Riyal, Pound Sterling (BP), Won, Euro, Swiss Franc, dan Yuan) serta 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai hampir RM7 juta.
Ia berhubung siasatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan Ismail Sabri.
Rampasan dilakukan ketika penggeledahan di sebuah kediaman dan tiga buah premis yang dipercayai dijadikan sebagai ‘safehouse’.
SPRM memberitahu, sebelum itu pada 11 Disember lalu, Ismail Sabri diarah mengisytiharkan harta mengikut Seksyen 36(1) Akta SPRM 2009 dan ia telah dilakukan Ismail Sabri secara rasmi pada 10 Februari lalu.
Siasatan itu menurut SPRM adalah tertumpu kepada perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi serta publisiti ketika beliau menerajui negara.
Sumber: Astro Awani