
KOTA KINABALU: Dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah diaktifkan bagi menempatkan 511 mangsa kebakaran rumah di Kampung Cempaka Likas pada awal pagi Sabtu.
Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dalam satu kenyataan memaklumkan dua PPS yang terlibat itu ialah, Dewan Serbaguna Likas dan Dewan Serbaguna Damai.
“Setakat ini, seramai 200 mangsa daripada 34 Ketua Isi Rumah (KIR) telah dipindahkan ke PPS Dewan Serbaguna Likas.
“Jumlah ini terdiri daripada 126 dewasa, 68 kanak-kanak dan 5 bayi dan 1 individu Orang Kurang Upaya (OKU).
“Sementara itu, seramai 311 mangsa daripada 56 KIR ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Damai dan daripada jumlah ini, seramai 203 orang adalah dewasa, 88 orang kanak-kanak, 6 bayi dan 14 warga emas,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) Sr. Lifred Wong telah mengadakan lawatan ke sekitar Kampung Cempaka, Likas dan PPS Dewan Serbaguna Likas bagi meninjau keadaan semasa di lapangan selain bertemu dengan mangsa-mangsa kebakaran.
Susulan lawatan itu, beliau telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kota Kinabalu Bil. 1/2025 bertempat di Dewan Mesyuarat, Tingkat 1, Bangunan DBKK.
Mesyuarat ini turut melibatkan wakil-wakil daripada Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA), Pejabat Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM).
Turut hadir dalam mesyuarat ini ialah Encik Karim Rahim, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Luar Bandar dan Penguatkuasaan), DBKK dan Encik Robert Lipon, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), DBKK.
Terdahulu, dalam kejadian yang berlaku pada 1 Mac lalu, sekitar jam 6 pagi, dianggarkan sebanyak 80 buah rumah di Kampung Cempaka, Likas telah musnah dalam kebakaran.